Wednesday, February 10, 2010

Adakah Haram Bagi Perempuan Haidh Berzikir dan Membaca Al-Quran?

Wanita yang sedang haid boleh berzikir, bertasbih (membaca Subhanalah), bertahmid (membaca alhamdulillah), membaca Bismillah ketika makan dan sebagainya. Boleh juga membaca buku-buku hadis, fiqh (buku agama), berdoa, mengaminkan doa dan mendengar bacaan a-Qur’an.

Jelas di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim serta kitab-kitab hadis yang lain bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersandar di riba ‘A’isyah radhiallahu 'anha sambil membaca al-Qur’an padahal ‘A’isyah di saat itu sedang haid.
Di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, Umm ‘Athiah radhiallahu 'anha berkata, Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda menyuruh keluar wanita-wanita dan anak-anak gadis yang berada di dalam rumah kepada solat dua hari raya (Solat Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha) supaya mereka dapat menyaksikan kebaikan dan seruan orang mukmin, dan jauhilah wanita haid daripada mushalla (tempat lapang solat Hari Raya).[1]

Juga diharuskan bagi wanita yang sedang haid untuk membaca al-Qur’an dengan cara melihat dengan mata atau menghayatinya dalam hati tanpa menutur dengan lidah. Boleh juga meletak mushaf al-Qur’an di hadapannya lalu melihat ayat-ayatnya dan membacanya dengan hati. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah dalam Majmu’ Syarh al-Muhazzab: Hal ini diharuskan tanpa perselisihan pendapat.

Adapun membaca dengan lidah bagi wanita yang sedang haid, maka terdapat perbezaan pendapat. Jumhur ilmuan berpendapat ianya dilarang. Imam al-Bukhari, Ibn Jarir al-Thabari dan Ibn al-Munzir berpendapat ia diharuskan. Demikian juga oleh Imam Malik dan Imam al-Syafi’e dalam pendapatnya yang lama. Ini sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari. Imam al-Bukhari mengemukakan sebuah riwayat daripada Imam Ibrahim al-Nakha’e (seorang tokoh tabi‘in) bahawa: “Tidak mengapa jika dibaca hanya satu ayat.”

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahas persoalan ini dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa, jld. 26, ms. 191 :

Sejak asal tidak ada larangan daripada al-Sunnah (bagi wanita yang sedang haid) membaca al-Qur’an. Hadis: “Wanita haid tidak boleh membaca sesuatu daripada al-Qur’an” adalah hadis yang lemah (dha‘if) yang disepakati oleh para ahli hadis.

Lebih dari itu, diketahui wanita-wanita di zaman Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sedia mengalami haid. Maka jika haram ke atas mereka untuk membaca al-Qur’an sepertimana haram ke atas mereka mendirikan solat, nescaya ia diterangkan oleh Nabi kepada umatnya dan dipelajari oleh para isteri baginda. Hal ini kemudiannya akan tersebar kepada manusia.

Namun tidak seorang jua yang meriwayatkan pengharaman seumpama daripada Nabi. Maka tidak boleh menghukum ia sebagai haram sedangkan baginda Nabi sendiri tidak pernah mengharamkannya. Justeru apabila Nabi tidak menegah daripada demikian padahal ramai wanita yang haid di zamannya, bererti diketahui bahawa tidaklah haram bagi wanita haid membaca al-Qur’an.

Di antara perselisihan pendapat ini, yang lebih utama ialah wanita yang sedang haid tidak membaca al-Qur’an dengan lidahnya melainkan jika perlu, seperti guru yang mengajar al-Qur’an, murid yang menduduki peperiksaan dan sebagainya.

source: http://resepirahsiaku.blogspot.com/2009/12/hukum-hukum-haid-wanita-islam.html


1 comment:

  1. Allah berfirman : LA YAMASSUHU ILLAL MUTAHHARUN. Al-Quran tidak boleh @ haram disentuh kecuali oleh orang yang bersih dari hadas (besar dan kecil).

    Ini isu menyentuh. Tapi isu membaca al-Quran oleh orang yang berhadas besar termasuk org yg haid adalah haram sbgaimana yg disepakati oleh ulama, berdalilkan hadis baginda Rasulullah SAW: أْنَّ الْجُنُبَ لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنُ"Orang2 yang berjunub itu tidak boleh (haram) membaca al-Quran."

    Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda : لاَ تَقْرَأُ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ. (أبو داود، الترمذي)."Tidaklah boleh org yg haid dan org yg nifas itu membaca al-Quran walaupun sedikit." Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi.

    Bagi pendapat mazhab Hanafi, diharamkan bagi perempuan haid membaca Al Quran melainkan jika perempuan itu seorang guru, maka dibolehkan perempuan itu membaca Al Quran dengan syarat perempuan itu hendaklah mengajarkan anak muridnya satu kalimah-satu kalimah, iaitu dengan memisahkan satu kalimah dengan kalimah yang lain dan tidak boleh disambungkan kalimah-kalimah itu, dan tidak boleh perempuan itu membaca ayat, begitu juga dibolehkan perempuan itu membaca ayat Al Quran kerana membuka sesuatu perkara yang dibacakan basmalah (bismillahir rahmanir rahim), dan begitu juga dibolehkan ke atas perempuan itu membaca ayat-ayat pendek dengan niat doa atau puji-puji Allah.

    Bagi pendapat mazhab Syafie, diharamkan perempuan haid membaca Al Quran walaupun satu huruf sekalipun, sekiranya perempuan itu berniat membaca Al Quran kerana membaca Al Quran, bukan kerana zikir dan bukan kerana berdoa dengan membaca ayat Al Quran, maka haramlah ke atas perempuan itu, tetapi jika perempuan itu berniat zikir seperti perempuan itu ketika makan dia membaca, bimillahir rahmanir rahim, atau lancar sebutan lidahnya dengan niat zikir dan bukannya niat membaca Al Quran, maka tidaklah diharamkan dia membaca Al Quran itu.

    Wallahu a'lam bissawab.

    ReplyDelete

Daily Hadith - Supplicating for Deceased

It was narrated that Abu Hurairah said: "When An-Najashi died, the Prophet (sal Allahu alaihi wa sallam) said, 'Pray for forgiveness for him.'" [Jami At-Tirmidhi - sahih hadith]

We learn here that on being informed about someone's death with the utterance of "we belong to Allah/ inna lillah", one should also supplicate for his/her forgiveness, so that Allah (subhana wa ta'ala) may forgive us as well.